Friday 28 October 2011

Pelajar Cemerlang

Setiap tahun apabila keputusan peperiksaan awam seperti PMR dan SPM diumumkan sudah pasti akan muncul ribuan pelajar yang cemerlang . Setiap individu yang memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan adakah cemerlang dalam semua aspek? Oleh itu , penulis akan mengupas tentang apa yang benar-benar cemerlang dalam erti kata sebenarnya .

Pelajar yang cemerlang sudah tentu mempunyai sejarah pencapaian akademik yang cemerlang sama ada peperiksaan dalaman atau peperiksaan awam . Bukan itu sahaja ,  mereka juga merupakan pelajar yang sentiasa taat dalam menyiapkan tugasan yang diberi oleh guru pada masa yang telah ditetapkan . Hal ini selaras dengan kata-kata pujangga , 'orang cerdik memberi jawapan , orang bodoh memberi alasan' . Mereka juga turut membuat persediaan sebelum guru memulakan pelajaran baru .

Selain aspek akademik , pelajar yang cemerlang juga mempunyai daya kepimpinan . Daya kepimpinan menjadikan mereka seorang yang dihormati oleh rakan-rakan yang lain . Sebagai contoh , pelajar yang cemerlang akademik dan mempunyai daya kepemimpinan yang tinggi akan dilantik oleh pihak sekolah sebagai ketua pelajar atau pengawas sekolah . 

Seorang yang cergas dan mempunyai sahsiah diri yang berdisiplin juga merupakan aspek penting dalam diri seorang pelajar cemerlang . Penglibatan mereka dalam aktiviti kokurikulum seperti pertandingan bahas dan acara sukan menunjukkan mereka seorang yang cergas . Disiplin yang baik seperti menghormati guru , menepati masa dan tidak melanggar  peraturan sekolah menyebabkan mereka disenangi oleh semua pihak . 



Konklusinya , pelajar cemerlang yang dihasilkan pada setiap tahun perlu cemerlang dalam pelbagai aspek . Pihak sekolah dan ibu bapa perlu peka akan perkara ini agar modal insan yang kita lahirkan berminda kelas pertama seperti yang diuar-uarkan oleh mantan Perdana Menteri kita , Datuk Seri Abdullah Hj. Ahmad Badawi .


No comments:

Klik Sini !